Subscribe News Feed Subscribe Comments

AKHLAK PERGAULAN MUKMIN

AKHLAK PERGAULAN MUKMIN
Melihat kepada perkembangan sosial semasa, penulis rasa terpanggil untuk berkongsi sedikit panduan berkenaan topik di atas. Apatah lagi bila melihat adik-adik remaja di mana-mana tempat hatta di institut pengajian tinggi, yang sepatutnya tinggi penghayatan ilmunya juga bagai sudah rapuh adab dan akhlaknya. Bagi seorang remaja mukmin di era youtube, mms, facebook, dan segala macam teknologi ini, berpegangan tangan, berdua-duaan di tempat sunyi, dating di malam hujung minggu, ibarat rutin harian yang sudah menjadi trend. Bahkan bagi yang menjauhi cara hidup itu, bakal dimomokkan dengan istilah kolot, ketinggalan zaman, atau bagi yang lebih ‘intelek’, tuduhan jumud, ta`asub, dan syadid pula diperkudakan.


Apa yang pasti Islam itu hanya satu. Baik aturan akidahnya, akhlaknya, tatacara hidupnya, kesemuanya berpaksikan “aturan Ilahi”. Yang diperdebatkan oleh ulamak dan hukamak hanyalah tafsiran, tetapi maqasidnya tetap satu iaitu “ubuduyyah” atau Melayunya “kehambaan” dalam segala tindak-tanduk dan amal perbuatan. Jesteru, bagi mencari jawapan bagi topik ini, penulis ingin berkongsi sedikit pengetahuan yang ada sebagai panduan berguna buat para remaja. Yang tersalah dan penulis mohon diperbetulkan, yang benar jangan lupa dimanfaatkan.

Konsep pergaulan(ikhtilath);
Pergaulan atau "ikhtilat" secara ringkasnya menurut Sheikh Yusuf al-Qaradawi merujuk kepada percampuran antara lelaki dan perempuan dalam apa jua aktiviti samaada yang bersifat keagamaan mahupun keduniaan[1] atau menurut Sheikh Muhammad `Uqlah di dalam bukunya “Sistem Kekeluargaan Di Dalam Islam”, dengan makna pertemuan antara dua individu atau lebih dari yang berlainan jantina dengan tiada perantaraan mahram di rumah atau selainnya, kerana urusan keperluan yang syar`ie, yang dengan pertemuan ini berlakunya percakapan, pergaulan dan yang seumpamanya dari sudut komunikasi tanpa apa-apa yang mendorong keraguan atau kebinasaan[2] . Walaupun secara asasnya ia adalah haram[3], tetapi tidak secara mutlak bahkan diharuskan apabila diketahui sebab dan alasannya serta ciri-cirinya[4].
Ringkasnya, menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi beberapa keadaan yang dibolehkan bahkan wajar untuk lelaki dan wanita berikhtilath dengan memelihara adab-adab dan akhlak-akhlak Islam. Antaranya;


1)- Situasi Ibadah;
Ternyata di dalam sunnah bahawa wanita zaman Rasulullah SAW juga mengambil tempat mereka dalam aktiviti ibadah terutamanya di masjid Rasulullah SAW. Dengan kebijkasanaan Rasulullah mengkhususkan saf terakhir kepada kaum wanita, mengasingkan tempat keluar masuk antara lelaki dan wanita (Bab al-Nisa'). Mereka juga turut sama-sama menunaikan solat jumaat dan mendengar khutbah sehingga ada di kalangan mereka yang [5]menghafaz surah Qaf kerana sering mendengarnya ketika khutbah Rasulullah SAW[6]. Disamping itu, para wanita yang terdiri dari gadis, orang tua, yang suci atau haidh juga pernah dihimpunkan dalam suasana yang aman dari fitnah ketika solat `Aidain[7].
Berdasarkan Hadith Solat Sunnat `Aid ini, Imam al-Shawkani menjelaskan;


“Hadith ini menunjukkan digalakkan (memberi) nasihat, peringatan di dalam khutbah `Aid kepada para wanita dan juga galakkan nasihat, peringatan, serta dorongan untuk bersedekah sekiranya tiada pada situasi itu kerosakan (moral) dan fitnah kepada yang memberi dan menerima nasihat itu atau individu lain. Ia juga menunjukkan menunjukkan pengasingan antara majlis (kedudukan) para wanita jika mereka menghadiri khalayak lelaki kerana ikhtilath (percampuran) itu kemungkinan menyebabkan fitnah yang timbul dari pandangan atau selainnya” [8]

2)- Situasi pembelajaran;
Al-Sunnah juga menceritakan bagaimana keterlibatan golongan wanita dalam majlis-majlis ilmu Rasulullah SAW yang juga ada golongan lelaki bahkan golongan wanita Ansar pernah dipuji oleh `Aisyah RA kerana tidak segan silu bertanyakan Rasulullah SAW berkenaan permasalahan janabah, mimpi, hadas, istihadah dan selainnya[9] sehinggakan mereka pernah meminta dikhususkan hari tertentu untuk mereka mempelajarinya daripada Rasulullah SAW[10].


3)- Situasi Jihad @ Tujuan (darurat);
Aktiviti jihad juga dibuktikan daripada sirah memperlihatkan wujud percampuran para Ummahat al-mukminin dengan golongan lelaki misalnya `Aisyah, Ummu Sulaym[11] dan Ummu `Athiyah[12] yang merawat tentera Islam yang tercedera di dalam beberapa peperangan. Tidak kurang juga yang sanggup menyertai ekspidisi penaklukan di zaman Saidina Uthman iaitu Ummu Haram RA bersama suaminya `Ubadah Binti Samit ke Qubrus (Siprus) bagi tujuan dakwah[13].

4)- Situasi Pekerjaan/khidmat sosial;
Al-Qaradawi juga memetik keunikan kisah anak-anak gadis Nabi Syu`aib A.S[14], Maryam dan Zakaria A.S di mihrab[15], serta kepimpinan Ratu Balqis[16] sebagai panduan asas kepada keharusan wanita di alam pekerjaan atau perkhidmatan sosial dengan beberapa syarat;
i)- Bukan dari pekerjaan yang diharamkan atau yang membawa kepada haram; seperti setiausaha atau pembantu kepada bukan mahram yang belum berkahwin yang kemudian berdua-duaan dengannya, pekerjaan yang mensyaratkan pakaian seragam yang tidak syar`ie, pekerjaan yang melibatkan arak, pekerjaan yang memaksanya bepergian jauh dan terasing yang tidak terjamin tanpa mahram dan lain-lain yang seumpamanya.
ii)- Hendaklah wanita Muslimah tetap beradab dengan adab Islam apabila keluar dari rumahnya seperti adab berpakaian (Usrah al-Nur; 31)[17], berbicara & berinteraksi (Surah al-Ahzab; 21)[18], dan keterampilannya (Surah al-Nur; 31)[19].
ii)- Hendaklah pekerjaannya itu tidak mengorbankan kewajipannya yang lain yang boleh ditinggalkan seperti kewajipan terhadap suami dan anak-anak yang paling asasi[20].

Adalah wajar bagi kita sebagai mukmin, meneliti dan menghayati setiap adab-adab yang berikut -disamping apa yang telah dibahaskan sebelum ini- ketika berinteraksi sesama mukmin atau selainnya terutamanya dari yang berlainan jantina. Tidak dinafikan gaya suara, gerak geri (body language), pandangan mata (eye-contact) mempunyai peranan utama dalam interaksi, samada secara fizikal atau melalui alat-alat komunikasi maya seperti handset, e-mail, chatting dan yang seumpamanya. Tegasnya, matlamat tidak mengharuskan cara. Oleh sebab cara itulah yang menggambarkan bagaimana kehalusan Islam menentukan akhlaknya. Jesteru, garis panduan asas ini menjadi kewajipan untuk kita hayati:


i) Menjaga pandangan;
Firman Allah Taala;
Ertinya;
"Katakanlah kepada wanita-wanita mukminah, tundukkanlah pandangan mereka dan peliharalah kemaluan mereka, yang demikian itu adalah lebih baik bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu semua kerjakan.(31) Dan Katakanlah juga kepada lelaki-lelaki mukmin tundukkanlah pandangan mereka…" (Surah al-Nur; 31)

Apa ada pada pandangan? Kita kenal cantik, anggun, seksi, menggoda, bukankah dengan mata? 3 perkataan yang terakhir itu adalah ekspresi kepada nikmat nafsu di sebalik penglihatan yang sudah cukup menggambarkan natijah negatif yang bakal bertandang. Sebagai agama paling tua di dunia, Islam sudah pasti memiliki prinsip bagi tingkah laku itu. Betapa Islam mendidik jiwa manusia dengan penuh hikmah. Menjaga pandangan dari melihat perkara-perkara yang diharamkan atau dalam ertikata yang lain, tidak memandang dengan pandangan yang mencetuskan keasyikan kepada seseorang lelaki atau pun wanita yang akhirnya menggugat kekuatan jiwanya adalah formula yang cukup bermakna. Nabi SAW juga pernah menegur Saidina `Ali KWH berhubung situasi ini, sabdanya;
يا عالي, لا تتبع النظرة النظرة. فإن لك الأولي وليس لك الأخرة
(رواه الحاكم الترميذي أبو داود البيهقي أحمد)

Ertinya;
"Hai Ali, janganlah engkau menyusuli pandangan pertamamu dengan pandangan kedua, kerana pandangan pertama untukmu (dimaafkan) dan bukanlah bagimu yang kedua."[21]
(Diriwayatkan Oleh al-Hakim, al-Tirmidhi, Abu Daud al-Baihaqi dan Ahmad)

Begitu juga Nabi SAW pernah mengingatkan tentang bahaya pandangan liar yang boleh mencetuskan gelokdak nafsu antara lelaki dan perempuan. Baginda menjelaskan;
النظرة سهم مسموم من سهام إبليس , من تركها مخافتي ابدلته إيمانا يبد حلاوته في قلبه (رواه الطبراني والحاكم)
Ertinya;
“Pandangan adalah anak panah beracun dari anak-anak panah Iblis, sesiapa yang menjauhinya kerana takutkan Aku maka Aku akan gantikannya dengan keimanan yang terasa kemanisannya di dalam hati”[22] (Diriwayatkan Oleh al-Hakim dan al-Tabari)

ii) Memelihara `aurat;
Firman Allah SWT;
Ertinya; "…dan hendaklah mereka memelihara kemaluan mereka dan tidak menampakkan perhiasan mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka melepaskan kain tudung mereka ke dada, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada suami mereka atau kepada anak-anak mereka atau bapa-bapa mereka atau saudara lelaki mereka atau anak-anak saudara lelaki mereka, atau saudara perempuan mereka atau anak-anak saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam atau (hamba & orang suruhan) mereka atau pelayan-pelayan daripada lelaki atau kanak-kanak yang tidak mempunyai keinginan terhadap `aurat wanita…" (Surah al-Nur; 31) Imam al-Qurtubi menjelaskan maksud firman Allah pada ungkapan; "...melepaskan kain tudung mereka ke dada.." bahawa ia menunjukkan hijab yang labuh yang melitupi belahan kolar pakaian dan kesemuanya menutupi dada leher serta telinganya[23].


Jesteru dalam konteks interaksi yang berlainan jantina, pemeliharaan terhadap `aurat adalah suatu kewajipan. Namun rata-rata di kalangan ahli jamaah, kewajipan ini sudah dikira baik pelaksanaannya. Namun begitu, apa yang menyedihkan kadang-kala dikalangan muslimat, bilama sudah berkerjaya, jauh dari “biah”(suasana) tarbiyah di kampus, kian longgar penampilannya dalam menjaga `aurat. Bahkan ada yang sudah tidak segan silu lagi menunjukkan buku lali dan betisnya di khalayak. Hijab dikepalanya hanya sekadar menutup kepala dan lehernya. Bagaikan sudah tercabut kemuliaan pada diri seorang Muslimah yang pernah menerima tarbiyah. Na`uzubillah. Mungkin soalan yang terbaik bagi golongan ini; Untuk apakah selama ini kita menyempurnakan hijab mereka ?...
Lupakah dengan firman Allah;


Ertinya; "Wahai nabi-nabi, katakanlah kepada isteri-isteri kamu dan anak-anak perempuan kamu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan-perempuan yang baik) maka dengan itu mereka tidak akan diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Pengasihani" (Surah al-Ahzab;59)


Penghayatan yang tepat kepada maksud firman Allah "..melabuhkan pakaiannya.." di sini adalah sebagaimana tafsiran para mufassir yang antara lainnya Imam Ibn. Kathir yang meriwayatkan tafsiran ungkapan tersebut daripada 'Ikrimah yang bermaksud ; "..menutupi pangkal dadanya dengan pakaiannya yang melitupi muka dan kepalanya.."[24] Begitu juga tafsiran Muhammad Ibn Sirien[25], Ibn `Abbas dan Qatadah yang juga memberikan penekanan terhadap hijab kepala yang labuh yang melepasi bahagian dada para muslimah[26]. Sebagai kesimpulannya, hijab yang paling sempurna ialah yang meliputi seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan, serta hijab kepala yang melitupi serta labuh melepasi dada. Demikianlah akhlak Islam terhadap etika berpakaian Muslimah agar tidak menimbulkan fitnah sekaligus memelihara kehormatan kaum Hawa.

iii) Bersuara dengan gaya dan intonasi yang formal atau yang sepatutnya;
Suara adalah antara perhiasan yang cukup indah bagi seorang wanita. Dengan niat memelihara kemuliaan Islam, menjauhkan fitnah, dan memelihara keimanan sesama mukmin, firman Allah yang mulia ini wajar kita perhatikan;
Ertinya;
“..maka janganlah kamu tundukkan (lunakkan) suara dalam berbicara sehingga berkeinginanlah mereka yang ada di dalam hatinya “penyakit” , dan ucaplah (kata-katamu) dengan ucapan yang baik” (Surah al-Ahzab; Ayat 32)

Para ulama mufassir memberikan ulasan mereka tentang maksud;
“.. tundukkan suara..”
Ibn Kathir; melunakkan suara apabila berbicara dengan lelaki[27]
al-Qurtubi; Jangan dilembutkan (yang menggoda) suara[28]
Sayid Qutb; Menundukkan suara dengan lunak yang memberi kesan terhadap syahwat lelaki dan menggerakkan keinginan mereka[29].


Samaada berbicara secara 4 mata, atau melalui alat-alat komunikasi yang lain, Kita dituntut -khususnya Muslimah- memelihara kemuliaan diri dengan memelihara gaya bercakapan, perbualan yang menjauhi unsur-unsur yang boleh "menggusarkan" hati seorang lelaki umpamanya pertuturan yang bermanja-manja, merengek mesra yang hanya layak bagi suami isteri, bergurau senda yang melampau batas syar`ie dan yang seumpamanya yang jauh dari akhlak Islam. Memadai dengan komunikasi dan interaksi formal yang dikira perlu tanpa intonasi dan “suara manja” yang tiada tujuan lain melainkan meraih perhatian manusia yang sudah rosak jiwa dan hatinya.


iv) Mengawal gerak geri agar berpandanan dengan tujuan;
Firman Allah SWT;
Ertinya;
“..dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman; Hendaklah mereka juga menundukkan pandangan mereka, dan memelihara kemaluannya (kehormatan dirinya)..” (Surah al-Nur; 31)

Selain menyempurnakan hijab, Islam juga menitik beratkan persoalan mendidik diri dengan mengawal gerak-geri, tingkahlaku serta perbuatan yang boleh mendorong ke arah maksiat. Firman Allah di dalam ayat di atas;
“..dan memelihara kemaluannya..”
Di tafsir indah oleh para mufassir yang antara lainnya Sa`id bin Jubayr yang berpandangan ; “memelihara dari perbuatan keji”[30], sementara Qatadah pula menegaskan; “memelihara dari apa yang tidak di halalkan kepada mereka (para wanita)”[31], manakala Maqatil dan Abu al-`Aliyah pula berkomentar bahawa pemeliharaan yang dimaksudkan ialah daripada zina[32].
Jelas secara kesimpulannya, maksud ayat tersebut adalah agar para Muslimah memelihara diri mereka dari perbuatan, tingkahlaku, dan perwatakan yang membuka ruang fitnah, dosa, kerosakan akhlak yang akhirnya boleh mencampakkan ke lembah unsur-unsur penzinaan. Sabda Nabi SAW ini sebagai peneguh kepada arahan Allah itu;
صنفان من أهل النار لم أرى هما :قوم معهم سياط كأذناب البقر يضربون بها الناس, ونساء كاسيات عاريات مميلات مائلات, ورؤوسهن كأسنمة البخة المائلة, لايدخلون الجنة ولا يجدن ريحها. وإن ريحها ليوجدن من مسيرة كذا وكذا. (رواه مسلم و أحمد ومالك)
Ertinya;
“Dua golongan dari ahli neraka, sekali-kali tidak aku akan memandang mereka; Suatu kaum yang bersama mereka cemeti umpama ekor lembu, mereka memukul manusia-manusia dengannya. Dan para wanita yang berpakaian tetapi (seolah-olah ) telanjang, yang (berjalan) melenggang-lenggok (penuh menggoda) dan kepala mereka seperti bonggol unta yang condong. Mereka ini tidak akan masuk ke syurga dan tidak pula mencium harumannya sedangkan harumannya dapat di hidu dari jarak sekian dan sekian “[33]

v) Menjauhi khalwah (bersunyian) antara Muslimin dan Muslimat;
Berdua-duan antara lelaki dan perempuan adalah antara perkara yang terlarang yang thabit dan jelas dari al-Sunnah. Sabda Nabi SAW;
إياك والخلوة بالنساء, والذي نفسي بيده ما خلا رجل بإمرئة إلا دخل الشيطان بينهمنا, وللأن يزحم رجل خنزيرا متلطخا بطين أو حمأة خير له من أن يزحم منكبيه منكب امرأة لا تحل له
Ertinya;
Berjaga-jagalah kamu (jangan) bersendirian dengan perempuan, demi tuhan yang nyawaku di tanganNya, tidaklah berkhulwah seorang lelaki dengan perempuan melainkan syaitan akan masuk di antara keduanya, dan seandainya seorang lelaki besesak-sesak dengan babi yang penuh berlumpur atau tanah adalah lebih baik dari begesel-gesel antara bahunya dengan bahu perempuan yang tidak halal baginya”[34]

Juga sabda Nabi SAW;
لا يخولن أحدكم بإمرءة لا تحل له, فإن ثالثها الشيطان إلا محرم
(رواه بخاري مسلم وأحمد)

Ertinya;
“Janganlah seorang lelaki dikalangan kamu berkhalwa
( bersunyian) dengan seorang perempuan kecuali dengan (adanya) Mahram
[35]

Larangan yang jelas oleh baginda SAW yang sudah termaklum pengharamannya[36] akibat keburukannya, serta kehinaan yang digambarkan di dalam hadith tersebut oleh sebab fitnah disebalik perbuatan itu di samping menggambarkan bagaimana halus dan murninya akhlak Islam dalam persoalan ini. Walaubagaimana pun dalam beberapa situasi, Islam tetap menampakkan keunggulan fleksibeliti syariatnnya, dengan mengharuskan pertemuan antara dua lelaki dan perempuan yang anjnabi dengan syarat yang tertentu;
a)- Wajib ditemani mahram[37] atau individu yang thiqah:
Jelas dalam sabda Nabi SAW di atas melarang berkhulwah antara pasangan yang bukan mahram kecuali dengan ada mahram si wanita seperti ibu bapa atau saudaranya yang berperanan memberi teguran atau nasihat kepada kedua-duanya. Begitu juga, dalam situasi gerak kerja dakwah, ianya diharuskan dengan adanya seorang perempuan yang thiqah (dipercayai agamanya) menggantikan peranan mahram perempuan tersebut[38].
b)- Tujuan yang baik;
Tujuan pertemuan juga adalah disyaratkan bagi tujuan yang baik dan murni, bukan untuk bersuka-suka atau hanya berbual kosong yang tidak memberikan apa-apa manfaat. Umpamanya perbincangan untuk tujuan kerja-kerja dakwah, pembelajaran dan seumpamanya.
c)- Suasana yang aman daripada fitnah;
Pertemuan yang mengambilkira situasi tempat dan keadaan juga penting kerana ianya sebahagian dari akhlak Islam bagi tujuan mengelak berlakunya fitnah dan tohmahan buruk khalayak. Mengelakkan dari tempat-tempat yang sunyi atau yang boleh menimbulkan syak dan keraguan khalayak adalah perlu diaplikasikan dalam gerak kerja.
d)- Persepsi khalayak (orang ketiga);
Akhlak Islam terlalu murni dan indah. Disamping menangkis jauh unsur-unsur yang boleh menimbulkan fitnah kepada mana-mana individu, etika moral Islam juga mengambilkira persepsi “orang ketiga” atau khalayak yang memerhati. Peristiwa yang berlaku terhadap Isteri Rasulullah SAW, Maimunah dan Ummu Salamah RA ini wajar di amati;
عن أم سلمة رضى الله عنها قالت: كنت عند رسول الله صلى الله عليه وسلم وعنه ميمونة, فأقبل إبن أم مكتوم, وذلك بع أن أمرنا بالحجاب فقال: النبي صلى الله عليه وسلم: إحتجبا منه. فقلنا: يا رسول الله أليس هو أعمى؟ لا يبصرنا ولا يعرفنا؟ فقال البي صلى الله عليه وسلم: أفعميوان أنتما؟ ألستما تبصرانه؟ (قال الترمذي:حديث حسن صحيح)
Ertinya;
Daripada Ummu Salamah R.A katanya: "Pernah aku bersama Rasulullah S.A.W dan disisinya juga ada Maimunah, kemudian datanglah Abdullah Ibn Ummi Maktum,-Dan peristiwa tersebut adalah selepas kami diperintahkan dengan hijab-, Maka Rasulullah S.A.W bersabda; (Kamu berdua) hijabkan diri darinya (Abdullah). Lalu kami pun berkata; "Wahai Rasulullah, tidakkah dia ini buta? Dia tidak mampu melihat kami dan tidak pula mengenali kami?".Maka Nabi S.A.W menjawab; "Adakah kamu berdua buta? Bukankah kamu berdua mampu melihatnya?"[39] ( Diriwayatkan Oleh al-Tirmidhi)

Jelas dalam hadith ini mengisahkan bagaimana akhlak yang cuba ditunjukkan oleh baginda SAW kepada Ummu al-Mukminin Ummu Salamah Dan Maimunah RA. Kehadiran Abdullah bin Ummi Maktum yang buta ke rumah Rasulullah SAW yang pada ketika itu kedua-dua ummu al-Mukminin dalam keadaan yang tidak sempurna hijab mereka. Lalu Rasulullah SAW tetap mengarahkan mereka berdua agar menghijabkan diri mereka dari Abdullah Ibn Ummi Maktum RA walaupun dia seorang yang buta dengan mengambilkira kemungkinan fitnah dari individu lain jika melihat para ummu al-Mukminin yang tidak menyempurnakan hijab mereka walhal ajnabi yang ada pada ketika itu adalah seorang yang buta.
Situasi ini menjelaskan beberapa adab yang cukup mulia;
i- Hijab adalah lambang kehormatan Muslimah yang wajib selama mana berinteraksi dengan individu yang bukan mahram.
ii- Penilaian “aman dari fitnah” juga perlu mengambilkira pandangan dan persepsi khalayak (individu ketiga), bukan sahaja dengan individu yang kedua.
iii- Mendidik umat Islam berfikiran dan berpandangan jauh dalam permasalahan kaedah bermu`amalah / berinteraksi yang selamat dari fitnah dan persepsi buruk khalayak.
Demikian Islam mendidik umatnya dalam kehalusan akhlak, membina kemuliaan sesebuah masyarakat yang harmoni dan jauh dari fitnah sesama manusia. Seorang mukmin seharusnya sedar kebahayaan fitnah yang melibatkan wanita adalah jenayah pertama dalam sejarah hidup manusia di dunia. Sememangnya fitnah adalah cubaan dan ujian[40] Allah kepada hambanya. Namun, sebaik-baik hamba, adalah yang mampu mengawal dan menjauhkan diri dari berlakunya fitnah ke atas dirinya, keluarga serta masyarakat. Sabda Nabi SAW:
عن أسامة بن زيد قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ; ما تركت بعدي فتنة أضر على الرجال من النسا. (رواه البخاري ومسلم)
Ertinya;
Daripada Usamah bin Zaid katanya; "Nabi SAW bersabda; "Tidak aku tinggalkan fitnah yang ebih besar selepasku yang lebih memudaratkan seorang lelaki melainkan peremuan"[41] (Diriwayatkan Oleh Bukhari dan Muslim)

Daripada hadith yang mulia ini, Ibn Hajar al-`Aqalani menjelaskan;
"Sesungguhnya fitnah yang membabitkan wanita adalah yang paling berbahaya daripada fitnah yang selainnya, dan di sokong oleh firman (Allah ) SWT; "Dihiaskan bagi manusia itu, suka (tertarik) kepada kaum wanita…"[42]

Tegasnya, persoalan yang membabitkan ikhtilat antara lelaki dan wanita adalah persoalan yang penting dalam rutin seorang Muslim. Ia melambangkan kemuliaan akhak Islam yang menghiasi perwatakan para penganutnya yang sekaligus mencerminkan kejernihan dakwah yang wujud pada peribadi para pendokong gerakan Islam itu sendiri.
والله أعلم بالصواب

[1] Yusuf al-Qaradawi (2002) Malamih al-Mujtama' al-Muslim Alladhi Nanshuduhu (Terj; Muhammad Baihaqi), Al-Hidayah Publisher. Kuala Lumpur, hlm. 140.
[2] Muhammad `Uqlah (Prof.Dr.) (2000) Nizam al-Usrah Fi al-Islam, Maktabah al-Risalah al-Hadithah, Jordan, ctkn 2, Juz.2, hlm. 61.
[3] Ibid, hlm. 61-75.
[4] Al-Qaradawi, op.Cit, Malamih al-Mujtama' al-Muslim Allazi Nanshuduhu. hlm 141.
[5] Sahih Muslim, op.Cit, Kitab Solah Al-`Aidayn, juz.2, hm. 602, no Hadith 823.
[6] Al-Qaradawi, op.Cit. hlm.143.
[7] Ibid, hlm. 144.
[8]Muhammad bin Ali bin Muhammad al-Shawkani (1973) Nail al-Awtar, Beirut; Dar al-Jayl, Juz 3, hlm. 375.
[9] Al-Qaradawi, op.Cit, hlm. 145.
[10] Lihat-Sahih Bukhari, op.Cit, KItab al-`Ilm, Bab; Hal Yaj`al Li al-Nisa' Yawmun `ala Hiddatin Fi al-`Ilm, Juz.1, hlm.50.
[11] Lihat Sahih Muslim, Bab; Ghuzwat al-Nisa' Ma`a al-Rijal. No . Hadith;1443.
[12] Ibid, Bab; al-Nisa' al-Ghazayat Yurdikh lahunn Wala Tusham wa al-Nahy `An al-Qatl al-Sibyan Ahl al-Hirb. Juz. 3, hlm.1447, No.Hadith;1812.
[13] Al-Qaradawi, Malamih al-Mujtama' al-Muslim Allazi Nanshuduhu op.Cit.150.
[14] Lihat Surah Al-Qasas; Ayat 23-26.
[15] Lihat Surah Ali `Imran; Ayat 37
[16] Lihat Surah Al-Naml; Ayat 32-34 & 42-44.
[17] Lihat Surah al-Nur ; Ayat 31.
[18] Lihat Surah al-Ahzab; Ayat 21.
[19] Lihat Surah al-Nur; Ayat 31.
[20] Al-Qaradawi, op.Cit, hlm. 194-195.
[21] Al-Hakim, op.Cit, juz. 2, hlm.212, no.Hadith; 2788, al-Tirmidhi, op.Cit, juz.5, hm. 101, bab; Ma Ja`a Fi al-Nazrat al-Mufaja'ah, no.Hadith; 2776. Abu Daud, op.Cit, juz. 2, hlm.246, Bab; Ma Yu'mar Bihi Min Ghadd al-Basar, no.Hadith; 2149, al-Baihaqi, op.Cit, juz. 7, hlm.90, Bab; Tahrim al-Nazar Ila al-Ajnabiyat, no.Hadith; 13293 dan Ahmad, op.Cit, juz. 1, hlm. 59, no.Hadith;1369.
[22] Muhammad bin Abdullah al-Hakim al-Naisabur (1990) Mustadrak `Ala al-Sahihayn, Dar al-Kutub al-`Ilmiyah, Beirut, juz.4, hlm.349, no. Hadith; 7875, Sulaiman bin Ahmad bin Ayyub al-Tabarani (1983) Mu'jam al-Kabir, Maktabh al-`Ulum Wa al-Hikam, al-Mawsul, juz.10, ctkn 2, hlm. 173, no.Hadith; 10362.
[23] `Abd al-Qadir & Ahmad `Ata' (1993) Hadha Halal Wa Hadha Haram, Dar al-Fadilah, Qaherah, hlm.166.
[24]Ismail bin`Amru bin Ibn Kathir al-Dimasyqi (1401H) Tafsir al-Quran al-`Azim, Dar al-Fikr, Beirut, juz.3, hm.519.
[25] Ibid.
[26] Muhammad bin Ahmad bin Abi Bakr bin Farh Al-Qurtubi (1372H) Tafsir al-Qurtubi, Dar al-Sya'b, Qaherah juz.14, hlm.243.-Lihat juga Muhammad `Ali al-Sabuni (1998) Tafsir Ayat al-Ahkam, Dar al-Kutub al-`Imiyah, Beirut, juz.4, hlm.50.
[27] Ibn Kathir, op.Cit, Jld. 3, hlm. 483.
[28] Al-Qurtubi, op.Cit, juz.14, hlm.177.
[29] Sayid Qutb, op.Cit, juz.5, hlm.2859.
[30]Ibn Kathir, op.Cit, Jld 2, hlm.284.
[31] Ibid.
[32] Ibid.
[33] Muslim, op.Cit, juz.3, hlm.1680, bab; al-Nisa' al-Kasiyat al-`ariyat al-Mailat al-Mumilat, No Hadith; 2128, Musnad Ahmad, op.Cit, juz.2, hlm. 355, No; Hadith; 8650,9678 dan Malik bin Ans Abu Abdulah al-Asbahy (t.t.) Muwatta', Dar Ihya' al-Turath al-`Arabi, Misr, juz2, hlm.913.; no; Hadith; 1626.
[34] Sulaiman bin Ahmad bin Ayyub Abu al-Qasim al-Tabarani (1983) Mu'jam al-Kabir, Maktabah al-`Ulum Wa al-Hikam, al-Muwassal, ctkn.2, juz. 8 , hlm. 205, no.Hadith;7830.
[35] Musnad Ahmad, op.Cit, juz 3, hlm.339. Makna yang sama juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Sahih Bukhari, op.Cit, juz.5, hlm.2005, No.Hadith; 4935 dan Sahih Muslim, op.Cit, juz.2, hlm.978.No.Hadith;
[36] Al-Syawkani, Op.Cit. hlm.425.
[37] Ibid.
[38] Ibid.
[39] Al-Tirmidhi, op.Cit, juz.5, hlm.102, no.Hadith; 2778.Kata Abu `Isa; "Hadith ini Hasan Sahih"
[40] Muhammad Ibn Abi Bakr al-Razi (1993), Mukhtar al-Sihah. Beirut; Maktabah Lubnan al-Nasyirun.hlm. 205.
[41] Bukhari, op.Cit, juz.5, hm. 1959, no.Hadith; 4808, Muslim, op.Cit, juz.4, hm.2097, no.Hadith;2047.
[42] Muhammad Abd Rahman Ibn Abd Rahim al-Mubarakfuri (t.t) Tuhfat al-Ahwadhi Sharah Sunan al-Tirmidhi, Beirut; Dar al-kutub al-`Ilmiyah, Juz. 7, hlm;53.

0 ulasan:

Post a Comment

 
صهيب نصرالله | TNB