Subscribe News Feed Subscribe Comments

Tafsir al-Dhuha (2)

GURU YANG SEJATI DALAM KEHIDUPAN

Allah SWT juga mendidik Muhammad SAW bagaimana menguruskan pengalamannya. Jangan dibiarkan berlalu tanpa apa-apa pengajaran. Allah berfirman;

أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيمًا فَآَوَى (6) وَوَجَدَكَ ضَالًّا فَهَدَى (7) وَوَجَدَكَ عَائِلًا فَأَغْنَى (8) فَأَمَّا الْيَتِيمَ فَلَا تَقْهَرْ (9) وَأَمَّا السَّائِلَ فَلَا تَنْهَرْ (10)
6. Bukankah Dia mendapati Engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan?
7. Dan didapatinya Engkau mencari-cari (jalan Yang benar), lalu ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu - Al-Quran)?
8. Dan didapatinya Engkau miskin, lalu ia memberikan kekayaan?
9. Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah Engkau berlaku kasar terhadapnya,
10. Adapun orang Yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah Engkau tengking herdik;

Ayat 6 hingga 8 Allah mengajak Muhammad mengenangkan segala nikmat yang dianugerahkan yang dibongkarNya satu persatu. “Bukankah engkau dahulu seorang yang yatim piatu wahai Muhammad?. Hidup menumpang kasih nenda dan bapa saudara” “Bukankah engkau juga keliru dan tercari-cari jalan yang bernar?” “Apabila “namus” [Jibril] menjenguk kali pertama, bagaimana reaksimu?”, “Atau bukankah kamu pernah tersesat dalam musafir jauh ke Syam, lalu Allah tunjukkan jalan keluar?” “Atau bukankah engkau juga tidak pernah mengetahui apa itu iman, al-Quran, dan hidayah? Firman Allah;
{ وَكَذَلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ رُوحًا مِنْ أَمْرِنَا مَا كُنْتَ تَدْرِي مَا الْكِتَابُ وَلا الإيمَانُ وَلَكِنْ جَعَلْنَاهُ نُورًا نَهْدِي بِهِ مَنْ نَشَاءُ مِنْ عِبَادِنَا وَإِنَّكَ لَتَهْدِي إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ } [
Ertinya;
52. Dan Demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) - Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah kami; Engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya Yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa Yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba kami. dan Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk Dengan Al-Quran itu ke jalan Yang lurus,) (Surah al-Syura; 52).

“Bukankah engkau juga seorang yang miskin? Lalu Allah anugerahkan Khadijah jelitawan yang hartawan sebagai isteri”. Demikian pertanyaan Allah bertubi-tubi. Disebalik pertanyaan ini rupa-rupanya ada tujuan. Sudah pasti jawapan kesemua soalan itu adalah “benar...”. Justeru dengan memanfaatkan seluruh pengalaman hidup; susah, miskin, yatim itu wahai Muhammad, “9. Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah Engkau berlaku kasar terhadapnya,” kerana engkau juga pernah merasai kepahitan hidup “anak yatim”. “10. Adapun orang Yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah Engkau tengking herdik;” kerana engkau juga pernah merasainya pedihnya dihina, diherdik dan ditengking. Demikian amat halus Allah mendidik peribadi Muhammad. Khibrahmu (pengalaman) jangan dibuang begitu sahaja!. Ternyata pengalaman hidup ibarat “guru yang mursyid” yang jika bijak diurus-seliakan pasti membuahkan peribadi yang cukup tawaduk walaupun pada diri seorang yang “billionare”, pekerti “pemimpin berjiwa rakyat” walaupun diri adalah “the nation-first-man”!. Demikianlah hebatnya tarbiyah ilahiyyah.

Jadi, adakah wajar kita berkasar terhadap anak yatim jika kita juga pernah merasai maungnya kalimah itu? Patutkan kita menengking-herdik pengemis dan peminta sedekah atau si jahil yang meminta panduan jika kita juga pernah susah dan jahil sebegitu sebelum mengecap nikmat yang sekarang? Tepuk dada tanyalah iman. Senaraikanlah apa sahaja pengalaman susah, hitam, dan pahit yang telah kita lalui, jangan kemudiannya dibakulsampahkan pengalaman berharga itu kalau ingin mendidik jiwa dengan sifat tawadu’, pemurah dan ihsan sesama manusia. Allah mengingatkan;

وَتِلْكَ الأيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا
Ertinya; “140. dan demikian itulah keadaan hari-hari, Kami gilirkannya antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa Yang diketahui Allah tentang orang-orang Yang tetap beriman (dan Yang sebaliknya)..” (Surah ali Imran; 140). Wallahua‘lam.

0 ulasan:

Post a Comment

 
صهيب نصرالله | TNB